Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Rusia pada hari Jumaat semalam berkata bahawa para pemberontak yang terlibat di dalam proses pembentukan 'Tentera Aleppo' di kawasan timur bandar itu mungkin sedang cuba untuk menjenamakan semula kumpulan pengganas al-Nusra sekaligus melindungi mereka. Beliau membuat kenyataan itu di dalam sebuah sidang akhbar yang turut disertai oleh rakan sejawatnya dari Itali, Paolo Gentiloni.
"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ini adalah sebuah percubaan untuk menjenamakan semula kumpulan Jabhat al-Nusra (sekutu al-Qaeda di Syria) sekaligus melindungi mereka daripada tindak balas yang adil," kata beliau.
Lavrov juga berkata bahawa hampir kesemua kumpulan militan yang beroperasi di timur Aleppo (di mana 'Tentera Aleppo' dibentuk) dikawal oleh al-Nusra.
"Saya telah mengatakannya sebelum ini, menurut perisikan kami... secara praktiknya, kesemua kumpulan pemberontak bersenjata di timur Aleppo melapor kepada Jabhat al-Nusra. Nusra sendiri memiliki 1500 anggota militan di sana manakala kumpulan yang berada di bawah perintahnya memiliki lebih kurang 6000 anggota," tambah Lavrov.
Lavrov menambah bahawa sesetengah pihak yang meletakkan pra-syarat yang menggesa Assad berundur telah menutup pintu untuk sebarang proses dialog dalaman Syria berlangsung sejak 6 bulan lepas.
3 Disember 2016 - 13:34
News ID: 795733
Menteri Luar Rusia pada hari Jumaat semalam berkata bahawa para pemberontak yang terlibat di dalam proses pembentukan 'Tentera Aleppo' di kawasan timur bandar itu mungkin sedang cuba untuk menjenamakan semula kumpulan pengganas al-Nusra sekaligus melindungi mereka.